26 December 2011

REINA "MOHON MAAF" (kepada peminat di Malaysia)







Johardy (kiri) bersama Pepe Reina dalam satu temu bual eksklusif di Liverpool, semalam.



LIVERPOOL – Penjaga gol kelab bola sepak Liverpool, Pepe Reina ‘meminta maaf’ kepada para penyokong kelab tersebut dan peminatnya di Malaysia kerana tidak menyertai skuad berkenaan semasa berkunjung ke tanah air pada Julai lalu.
‘‘Saya mengalami kecederaan ketika itu dan perlu menjalani rawatan. Saya memohon maaf kepada para peminat di Malaysia. Saya mendengar cerita teman-teman dan membaca laporan mengenai sambutan hebat yang diterima oleh pasukan.
‘‘Tentunya saya sangat bangga dengan sokongan itu dan saya harap sokongan berterusan dari para peminat,” katanya kepada Mingguan Malaysia semasa sesi khas soal jawab di pusat latihan Liverpool yang dikelola bersama Standard Chartered Bank di Melwood di sini semalam.
Reina berkata, beliau juga berharap akan dapat kembali ke Asia di masa akan datang untuk menemui para peminat di sana.

Beliau adalah antara bintang Liverpool yang tidak menyertai siri jelajah Asia ke Malaysia, China dan Singapura pada Julai lalu, termasuk kapten pasukan Steven Gerrard yang juga cedera manakala Luis Suarez dan Lucas Leiva terlibat dalam kejohanan Copa Amerika.
Reina yang kini diberi peranan sebagai ketua pasukan semasa ketiadaan Gerrard dan Jamie Carragher secara berseloroh menyifatkan tugasnya itu sebagai ‘menyeramkan’.
‘‘Sebenarnya, ia adalah satu penghormatan bagi saya memimpin pasukan ke padang. Untuk pemain dari negara lain diberi lilitan lengan kapten di kelab hebat seperti Liverpool, ia adalah satu penghormatan. Saya rasa bangga mengenainya,” ujar beliau.
Ditanya sama ada tugas sebagai kapten menjejaskan persiapannya sebelum perlawanan bermula, Reina menafikannya.
‘‘Tidak. Saya sama saja. Tanpa tugas kapten pun saya sentiasa memberi kata perangsang kepada rakan-rakan dan ‘lantang’ di bilik persalinan bagi memastikan setiap orang bersedia menghadapi perlawanan,” katanya.
Mengenai kekalahan di tangan Fulham, Selasa lalu iaitu sebuah pasukan ‘lemah’ selepas Liverpool menewaskan Chelsea, beliau mengakui ia sukar ditelan termasuk beberapa perlawanan yang berakhir dengan seri iaitu menentang Sunderland, Manchester United, Norwich, Manchester City dan Swansea.
‘‘Entahlah. Kadang-kadang kami cuba memahami mengenai sesuatu perlawanan yang dijangka sengit dan bersikap agresif daripada awal untuk menjaringkan gol. Kita berjaya lakukannya tetapi di separuh masa kedua prestasi kita menurun.
“‘Saya tidak tahu sama ada ia disebabkan oleh tekanan bermain di stadium sendiri tetapi benar kami berharap untuk mendapatkan kemenangan sekurang-kurangnya dalam dua perlawanan tersebut,” katanya.
Jurulatih penjaga gol Liverpool, John Achterberg yakin permainan Reina pada masa ini adalah paling cemerlang berdasarkan keupayaannya membaca permainan tiga atau empat saat lebih pantas berbanding penjaga gol lain, sebagaimana dibuktikan dengan kemampuannya menangkis cubaan demi cubaan pemain Chelsea.
Atas faktor itu juga, Reina kini menjadi rebutan kelab-kelab bola sepak terkemuka dunia dan mengakui dalam buku autobiografi terbarunya bahawa beliau telah mempertimbangkan untuk meninggalkan Liverpool sebanyak tiga kali sejak berpindah dari Villareal enam setengah tahun lalu.
Mengulas mengenai masa depannya, beliau menegaskan dirinya ‘gembira di Liverpool’ dan lapang hati dengan arah tuju kelab dibawah pemilikan Fenway Sports Group dan pengurusan Kenny Dalglish.
‘‘Kenny adalah seorang daripada lantikan Fenway dan Kenny adalah Liverpool, Liverpool adalah Kenny. Beliau adalah pemain terhebat di Liverpool, menjadikan para penyokong sangat gembira.
‘‘Saya rasa cara pasukan ini bermain menunjukkan kami menuju ke arah yang betul. Sekarang kami mahu terus melangkah ke depan dan bertambah bagus,” katanya menjelang perlawanan menentang Queen Park Rangers esok (Sabtu). – MINGGUAN


No comments:

EVA MENDEZ IS A KOP?

EVA MENDEZ IS A KOP?

The GOLDEN Team of Kenny Daglish

The GOLDEN Team of Kenny Daglish
If we have them now, say farewell to Arsenal, Man.U and Chelsea... if...