Secara azalinya Grand C4 Picasso ini adalah MPV tujuh kerusi tetapi dua kerusi tambahan di barisan akhir boleh dilipat rata di atas lantai kenderaan. Saiz dua kerusi tersebut bagaimanapun, lebih sesuai untuk menempatkan kanak-kanak atau orang dewasa di bawah ketinggian 5 kaki. Di belakang kerusi pemandu terdapat meja lipat sama seperti kerusi dalam pesawat.
Keluasan yang dinikmati bermula dari tingkap hadapan. Penghadang cahaya mempunyai ruang untuk ditolak lagi ke dalam bumbung, memberikan ruang pandangan sehingga ke langit bukan sahaja kepada pemandu tetapi juga penumpang di belakang.
Sebenarnya sepanjang pemanduan, penulis dapat merasai kesan tingkap yang begitu nyata pada kenderaan ini. Memang luas pandangan! Selain itu, tingkap bumbungnya juga meliputi dari bahagian tengah hingga hampir ke sudut belakang kenderaan (sesuai untuk menonton permainan bunga api!).
Jangan risau soal panas dalam cuaca tropika Malaysia kerana cerminnya dilengkapi penapis filem anti-UV dan anti- infra merah. Setiap baris tempat duduk juga dipasang dengan serombong pendingin hawa.
Penulis menemui satu kotak bertulis PARFUMEUR D’ambiance berlogo Citroen. Menurut Eksekutif Pemasaran dan Komunikasi Brooklands Motors, Loo Yat Min, botol pewangi itu mempunyai ruang khusus dalam serombong pendingin hawa dan stoknya hanya dibekalkan oleh Citroen. Ini lagi keistimewaan Citroen! Tidak perlu lagi bersusah-payah mencari botol pewangi dan melekatkannya di atas panel pemuka yang hanya mencacatkan rupa pandangan!
Citroen memberi perhatian khusus pada bahagian panel pemuka. Reka bentuknya yang moden dengan penekanan pada aspek digital, membawa perasaan seronok memandu (jarang dirasai semasa memandu kenderaan bukan kereta sports).
Meter kelajuan yang digunakan bukan meter tradisional. Ia terletak di konsol tengah yang latarnya boleh ditukar kepada lima warna dan nombor kelajuan menonjol mengikut tekanan pedal (ciri ini terdapat pada Honda Civic dan beberapa lagi kenderaan). Selain meter kelajuan, ia memaparkan kadar dan purata penggunaan minyak, tarikh, saluran radio yang sedang didengar dan jarum rpm.
Butang kawalan audio pula mempunyai penutup. Apabila tidak digunakan, panel pemukanya seolah-olah tidak mengandungi radio. Ia juga memiliki ciri Bluetooh pada sistem audionya yang boleh disambungkan terus dengan telefon bimbit anda.
Satu lagi ciri menarik pada Grand C4 Picasso ini ialah sterengnya yang hanya berputar pada bulatan genggaman tetapi bahagian tengah (lazimnya tempat hon dan beg udara) kaku semasa mengambil selekoh. Bila direnung rasional rekaan sebegitu, ia banyak memberi kesenangan kepada tangan pemandu kerana tidak terganggu oleh bahagian tengah roda stereng. Reka bentuk ini adalah inovasi asli dan pertama kali diperkenalkan oleh Citroen.
Untuk mengoptimumkan ruang dalam kabin pemandu, batang gear tidak diletakkan di lokasi biasa MPV lain iaitu di panel pemuka sebelah kiri tangan pemandu. Sebaliknya ia terletak pada ‘tengkuk’ stereng manakala brek tangan dikawal komputer sepenuhnya iaitu apabila gear dimasukkan ke ‘P’ dan enjin dimatikan. Brek tangan tersebut ‘dilepaskan’ sebaik sahaja gear ditukar ke ‘D’ dan pedal minyak ditekan.
Lampu belakang yang memiliki reka bentuk bermutu tinggi.
MPV ini dijana oleh enjin 2.0 liter yang menghasilkan 143 kuasa kuda dan tork sebanyak 200 Nm pada 4,000 rpm. Enjin yang mematuhi piawaian pengeluaran asap Euro 4 diperkasa oleh transmisi automatik empat kelajuan.
Ciri keselamatan merangkumi penarafan 5 bintang Euro NCAP dan sembilan beg udara dan sesuai dengan kempen memakai tali pinggang belakang, terdapat sistem peringatan tali pinggang untuk semua tujuh penumpang.
Harga atas jalan ialah RM169,607 tanpa insurans dan Brooklands Motors selaku pengimport dan pengedar eksklusif kenderaan Citroen menawarkan waranti dua tahun atau 100,000 km (yang mana dulu). Pelanggan juga boleh memilih beberapa aksesori tambahan seperti Bluetooth, kerusi sarung kulit, rim aloi 18 inci dan sebagainya yang bernilai RM7,700.
1 comment:
Bro...
u are writing the cars segment?
i do liek cars too...
Post a Comment