06 May 2013

Beza cara berkempen di Tallahassee


Oleh JOHARDY IBRAHIM Mingguan Malaysia 5 Mei 2013

SEORANG  penyokong Demokrat (berbaju biru) membuat aksi lawak di hadapan sekumpulan penyokong Republikan yang berdemonstrasi semasa majlis ceramah Bill Clinton di Tallahassee, Florida pada 3 November 2012.

MATAHARI pagi yang bersinar cemerlang di Tallahassee, Florida masih tidak dapat menepis kedinginan angin yang bertiup. Sejak semalam lagi, bersama rakan dari Romania, Paul Ciocoiu, kami sudah berkobar-kobar dan tidur awal. Bandar kecil ini yang juga ibu negeri Florida bakal menerima kunjungan superstar, bekas Presiden Bill Clinton.

Berdasarkan jadual, Clinton akan menyampaikan ceramah di padang Florida State University pada pukul 8 malam. Kalau ikutkan tradisi di Malaysia, selepas maghrib sahaja kawasan acara akan mula dipenuhi orang ramai.

Namun disebabkan bandar ini bersaiz kecil, malah boleh diumpamakan seperti Shah Alam iaitu terdapat tiga universiti di pusat bandar Tallahassee, teman wartawan akhbar tempatan Tallahassee Democrat mengatur jadual perjalanannya hanya 10 minit sebelum pukul 8 malam. Lawaknya, kami memang sampai tepat 8 malam dan Clinton pun belum muncul.

Setelah beberapa hari di Tallahassee ketika itu, saya melahirkan rasa hairan bercampur kecewa terhadap proses pilihan raya Presiden Amerika Syarikat antara calon Demokrat Barack Obama menentang calon Republikan, Mitt Romney.

Hairan dan kecewa kerana Tallahassee seolah-olah tidak terlibat dalam pilihan raya Presiden AS. Sunyi sepi.

Walhal Florida merupakan antara sembilan negeri yang dikategorikan sebagai Swing State iaitu negeri yang memiliki bilangan ahli Demokrat dan Republikan hampir sama, maka menyebabkan negeri itu sukar diduga sama ada akan memihak kepada parti merah atau biru. (Keputusan akhir menunjukkan Florida memihak tinggi kepada Obama).

Kehairanan saya itu kerana datang dari Malaysia, setiap kali pilihan raya suasana bertukar menjadi riuh-rendah, gegak gempita dan aktiviti menampal poster calon menjadi satu kemestian, malah di sesetengah tempat menjadi punca pergaduhan.

Tetapi di Tallahassee... macam itu sahajalah. Tenang. Sunyi. Memang ada terdapat poster-poster calon. Tapi boleh dikira dengan jari. Nyata kaedah menampal dan menggantung poster calon, tidak lagi menjadi pilihan utama berkempen di AS. Keadaan itu dapat dilihat semasa perjalanan dari Tallahassee menuju ke St.George Island di Teluk Mexico.

Malah di Washington, DC iaitu pusat pentadbiran AS juga sangat sedikit. Difahamkan terdapat larangan menampal poster calon di ibu negara AS ini, atas faktor kebersihan. Di New York lagi sedikit, mungkin kerana penduduknya ketika itu lebih trauma terhadap bencana ribut Sandy yang melanda beberapa hari sebelum tarikh pengundian pada 6 November 2012.

Menurut Ketua Pengarang Tallahassee Democrat, Bob Gabordi, strategi memasang poster tidak lagi popular kerana beberapa faktor antaranya, secara umumnya seseorang pengundi sudah membuat keputusan berdasarkan parti yang dianggotainya.

Sepanduk

Kalangan mereka ini akan paling tidak sekali pun, memasang satu sepanduk kecil di halaman rumah atau dinding luar lambang parti masing-masing. Hendak melihat replika logo bersaiz besar di simpang jalan misalnya, amat sukar.

Faktor kedua ialah fungsi televisyen yang sangat kuat sebagai platform berkempen dan menjadi wadah utama puluhan juta rakyat AS untuk mendapatkan maklumat.

Kedua-dua kem calon Obama dan Romney sanggup berbelanja besar menerbitkan filem-filem pendek kempen. Terdapat juga pihak ketiga iaitu digelar Super Pacs iaitu singkatan Political Action Committee (Jawatankuasa Tindakan Politik).

Kem Obama dan Romney perlu mengisytiharkan dana yang dikumpul seperti jumlah dan identiti penderma tetapi Super Pacs tidak perlu. Siapa Super Pacs ini? Ia adalah gelaran kepada sebarang organisasi di AS yang menyokong seseorang calon dengan mengumpul dana mereka sendiri untuk melancarkan kempen fizikal dan media seperti iklan televisyen, radio atau media cetak; rayuan pengundi secara bersemuka, melalui telefon atau dalam talian.

Misalnya, satu kumpulan Super Pacs dibentuk bagi mewakili sektor tenaga yang secara terang-terangan menyebelahi Romney. Dana daripada syarikat-syarikat tenaga sama ada utiliti atau minyak disalurkan terus kepada organisasi Super Pacs yang menggerakkan kempen.

Satu sebab diwujudkan Super Pacs dan dibenarkan oleh undang-undang AS ialah calon politik tidak dibenar menerima sumbangan syarikat, kesatuan dan persatuan. Super Pacs pula dibenarkan mengumpul dana tanpa had dan tanpa perlu membuat sebarang perisytiharan atau perakuan.

Situasi ini dikritik oleh pemerhati politik AS sebagai ‘gejala rasuah yang dibenarkan’ dan dibimbangi meruntuhkan nilai-nilai kewibawaan demokrasi acuan AS.

Penganalisis politik percaya perbelanjaan kempen kedua-dua calon presiden sudah melepasi angka AS$6 bilion (RM18.6 bilion). Perbelanjaan kempen tersebut dikecam banyak pihak sebagai ‘melampau’ dalam situasi ekonomi AS yang masih tidak menentu.

Badan penyelidik Center for Responsive Politics (CRP) berpangkalan di Washington D.C menganggarkan kos berkempen di peringkat presiden dan kongres AS sudah pun mencecah AS$5.8 bilion (RM17.98 bilion).

Angka tersebut adalah peningkatan sebanyak 7 peratus berbanding AS$5.4 bilion (RM16.74 bilion) semasa kempen pilihan raya lima tahun lalu dan dijangka mencecah AS$6 bilion (RM18.6 bilion) sehingga hari pengundian. Secara ringkasnya, kos berkempen itu jauh berlipat kali ganda berbanding keseluruhan bajet tahunan Malaysia.

Kos itu merangkumi dana yang dikumpul secara langsung oleh kem penyandang jawatan Presiden Barack Obama dan pencabarnya daripada Republikan, Mitt Romney dan juga satu entiti.

Penganalisis politik juga mengakui bahawa pilihan raya presiden 2008 merupakan kempen pertama yang mencecah AS$1 bilion (RM3.1 bilion) dalam sejarah AS.

Kembali kepada acara ceramah Bill Clinton di Tallahassee, kehadiran Clinton disambut meriah oleh hadirin. Ternyata beliau masih memiliki aura di sebalik skandalnya dengan seorang pelatih Rumah Putih. Ramai masih cenderung untuk mengingati pentadbiran Clinton sebagai zaman ekonomi yang baik dan aman damai.

Semasa bersurai, terdapat sekumpulan remaja lelaki memegang sepanduk besar tertera perkataan ‘Romney, Ryan’ sambil melaung-laungkan slogan parti. Ramai penyokong Demokrat tidak tercuit pun dengan provokasi tersebut, walaupun di kiri dan kanan kumpulan itu pengawal keselamatan universiti bersiap sedia. Lucunya, beberapa penyokong Demokrat membuat aksi lawak di hadapan kumpulan sambil bergambar.

Bab ini saya kagum. Saya tanyakan Paul yang sama-sama ketawa kerana di Romania, kalau tidak kedua-dua penyokong bertempur, kumpulan tersebut akan ditangkap polis. Rumusan mudah, Malaysia dan Romania masih jauh dari aspek toleransi seumpama yang dilihat di Tallahassee itu.
  © Utusan Melayu (M) Bhd     ARTIKEL BERKAITAN: Aura Bill Clinton bantu Obama (4 November 2012)  

No comments:

EVA MENDEZ IS A KOP?

EVA MENDEZ IS A KOP?

The GOLDEN Team of Kenny Daglish

The GOLDEN Team of Kenny Daglish
If we have them now, say farewell to Arsenal, Man.U and Chelsea... if...