You CAN touch this! |
"ADA dua tiket ke perlawanan akhir Carling Cup di Wembley. Untuk anda!’’
Mesej dari seorang sahabat yang membuat hati berbunga-bunga.
Namun, bunga itu rupanya ditanam di taman larangan. Tiket masuk stadium sudah
dapat tetapi bagaimana pula tiket penerbangan?
Setelah memikirkan dengan serius selama lima minit dan 21 saat, saya terpaksa
melupakan hasrat untuk menonton perlawanan akhir antara Liverpool FC menentang
Cardiff City yang berlangsung tengah malam ini.
Hutang kad kredit semasa ke Stadium Anfield pada Disember lalu pun masih
belum usai, maka ia bukan suatu kecemerlangan fiskal jika mahu menambah hutang
lagi sekarang. Memadailah menonton di rumah sahaja malam ini. Esok kerja jadi
raikannya di pejabat saja.
Perlawanan ini bagi sesetengah pihak, adalah kurang berprestij berbanding
Piala FA dan Piala Juara-Juara Eropah. Tetapi kebanyakan yang bercakap
sedemikian adalah penyokong kelab-kelab yang telah ditewaskan oleh Liverpool dan
Cardiff. Apa salah sudah kalah diam sajalah?
Satu lagi tarikan bagi bukan penyokong Liverpool dan Cardiff ini memiliki
penaja Malaysia dan nama negara kita tertera pada jersi pemain. Lagi sekali
penyokong Liverpool di Malaysia terpaksa menghadapi ejekan lawan bahawa ia
menentang entiti Malaysia, selepas Queens Park Rangers (QPR) yang tertera pada
baju mereka nama Malaysia begitu besar (dan Airlines kecil). Aston Villa adalah
satu lagi pasukan yang ditaja entiti Malaysia iaitu Genting Berhad.
Penyokong Liverpool di Malaysia tidak ambil kisah ejekan penyokong lawan.
Tidak timbul isu patriotik kerana kewujudan entiti korporat Malaysia pada jersi
kelab Inggeris itu pun bermatlamatkan komersial.
Dan kita berbangga nama Malaysia dikenali oleh kira-kira 40 juta penonton
Liga Perdana Inggeris. Lagipun, kebanyakan penyokong Liverpool adalah penyokong
tegar pasukan masing-masing dalam Piala Malaysia, selain sentiasa menyorak skuad
Harimau. Perlawanan akhir malam ini adalah Liverpool menentang Cardiff, sebuah
kelab dari Wales. Bukan dari Malaysia.
Persiapan
Memang menjadi impian setiap penyokong untuk menonton perlawanan kelab di
stadium masing-masing. Sekali seumur hidup pun jadilah. Berdasarkan maklum balas
daripada pembaca blog utusanlfc.blogspot.com mengenai cara persiapan untuk ke
Stadium Anfield di Liverpool, berikut adalah panduan ringkas.
Pertama, kenal pasti perlawanan yang mahu ditonton di Anfield. Periksa laman
web rasmi liverpoolfc.tv untuk menempah tiket. Anda perlu menjadi ahli
antarabangsa kelab ini terlebih dulu untuk mendapat keutamaan. Atau mendapat
bantuan teman yang berada di Liverpool untuk membeli tiket masuk.
Harga tiket perlawanan berbeza mengikut kelab yang dilawan. Lawan-lawan
dikategorikan Top 6 iaitu Manchester City dan United, Chelsea, Tottenham,
Everton dan Newcastle harganya boleh mencecah 55 pounds (RM275) dan tiket
terendah ialah 44 pounds (RM220). Hanya setelah mengesahkan tiket stadium,
barulah anda memilih syarikat penerbangan.
Seorang rakan penyokong tegar LFC, Ebi Azli Abdullah berkata, pilihan
pertamanya adalah Malaysia Airlines (MAS) kerana ia terbang tanpa henti ke
Heathrow. Suatu waktu dulu, MAS ada terbang ke Manchester iaitu hanya sejam
berkereta ke Liverpool tetapi kini tiada lagi.
AirAsia X juga baru pada Januari lalu menghentikan penerbangan dari LCCT ke
London.
Menurut Ebi, tiket-tiket murah selalunya boleh didapati ketika tempoh jualan
murah yang selalunya akan diadakan setiap dua atau tiga bulan, dengan harga
tiket pergi balik kelas ekonomi sekitar RM3,000 sehingga RM3,500 seorang.
Tiba di London, anda boleh menggunakan kereta api laju Virgin Trains
(www.virgintrains.co.uk), selama dua jam 20 minit. Jika tarikh perlawanan sudah
dikenal pasti, beli tiket pergi balik tren dengan segera untuk mendapatkan
tambang rendah.
Tiba di Stesen Lime Street Liverpool, jika hendak ke Anfield, naik teksi
sahaja. Jaraknya tidak jauh. Saya melihat sendiri ramai penyokong QPR dan
Liverpool berjalan balik dari stadium menuju ke stesen kereta api. Jika mahu
bermalam, ada pilihan hotel serendah 20 pounds (RM100) atau ke Hilton Hotel
berharga 110 pounds (RM550) dan jika pergi berdua, kosnya menjadi RM225 untuk
mengecap keselesaan.
Jangan risau mengenai makanan halal. Terdapat banyak restoran yang
dikendalikan oleh orang Pakistan yang menyajikan masakan kari dan kebab.
Apabila selesai urusan bola, anda boleh melawat pelbagai tarikan pelancong di
Albert’s Dock di tebing Sungai Mersey. Di situ terdapat muzium era hamba abdi
dan penting sekali, muzium The Beatles.
Kos untuk ke Liverpool memang sangat tinggi. Tetapi penyokong Liverpool
jangan bimbang jika tidak dapat menjejak kaki ke Anfield kerana ia tidak
mengurangkan secubit pun jati diri Reds dalam diri mereka. Yang penting kita
raikan Kapten Reds, Steven Gerrard yang akan menjulang Piala Carling malam
ini.
3 comments:
Pantun ni tercipta waktu Piala Carling hari tu. Tahniah!! buat Liverpool FC...
Nampak garang sibaju merah,
Sedia berjuang untuk berlawan.
Jiwa dan raga telah ku serah,
Liverpool FC jua yang paling menawan.
Hhhheh menarik tu..
Mohon kenalkan diri bro.. .
impian setiap peminat tegar LFC untuk menjejakkan kaki ke Anfield. kalu ada rezeki, sampailah ke sana. sokong ttp sokong!
Post a Comment