Mark Zuckerberg - Photo REUTERS |
TIDAK pasti bagaimana anda rasa mengenai penggunaan Facebook sejak perubahan dibuat, saya secara peribadi merasakan perubahan (misalnya Timeline) telah ‘membina jurang’.
Pada paparan dinding akaun anda, ia hanya menunjukkan rakan-rakan yang kerap berhubungan atau mengepos pernyataan yang sama tajuk.
Jadi sekiranya anda lebih 1,000 rakan, kadar kebarangkalian untuk 30 peratus daripada mereka terlepas pandang kepada pernyataan kita adalah tinggi. Atas sebab itu, bilangan yang menekan like dan memberi reaksi, kelihatan menyusut berbanding tahun lalu. Apa erti mengepos pernyataan jika tidak dibaca oleh rakan-rakan?
Namun apa pun rungutan kita, Facebook memiliki alasan khusus membuat perubahan seumpamanya. Perubahan yang dibuat ini adalah antara senarai utama kritikan terhadap Facebook.
Cuma tidak pasti apakah ia meliputi pengguna Facebook di Malaysia yang diiktiraf sebagai antara ‘rakan paling mesra’ di dunia kerana memiliki minimum 200 rakan dalam akaun Facebook dan ini termasuk pelajar sekolah menengah yang add semua kenalan sekelasnya, guru kelas yang disenangi, sepupu jauh dan dekat, kawan kepada rakan sekelas dan anak guru kelas yang disenangi.
Golongan pelajar ini akan membina persahabatan Facebook dengan semua orang terutama artis, guru agama televisyen, seniman lapuk dan ahli politik tetapi berusaha sedaya-upaya mengelak untuk memasukkan ibu bapa mereka sendiri.
Begitu meluasnya pengaruh Facebook dalam kehidupan harian kita sehinggakan sesiapa yang tidak memiliki akaun atau aktif di dalamnya, dianggap serpihan dari era mesin taip. Kita tahu Facebook adalah suatu fenomena dan jentera revolusi kaedah kita berkomunikasi pada abad ke-21 ini. Kita tahu ia adalah besar tapi tidak pasti berapa besar.
Selama lapan tahun sejak penubuhannya, pada Rabu lalu Facebook menerbitkan prospektus kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat bagi tujuan penyenaraiannya di bursa saham. Selain menyerlahkan banyak rahsia dan maklumat di belakang tabir yang hanya menjadi bahan spekulasi kita selama ini, langkah penyenaraian itu juga kaedah Facebook untuk meraih untung daripada maklumat peribadi kita yang diposkan dalam Facebook setiap hari.
Menurut prospektus tersebut yang anda boleh baca di http://www.sec.gov/Archives/edgar/data/1326801/000119312512034517/d287954ds1.htm, Facebook mahu meraih AS$5 bilion (kira-kira RM15 bilion) dalam tawaran permulaan awam (IPO) yang disifatkan oleh pemerhati sebagai jumlah terbesar untuk sebuah syarikat Internet sejak Google disenaraikan pada 2004. Nilai IPO itu juga bakal meletakkan nilai rangkaian sosial itu setinggi AS$75 bilion hingga AS$100 bilion (RM225 bilion hingga RM300 bilion).
Gambaran wajah Facebook yang boleh ditafsir dari dokumen setebal 150 muka kepada suruhanjaya tersebut dianggap wajah sebuah syarikat yang matang, sekurang-kurangnya pada standard Lembah Silikon. Facebook sudah menikmati pulangan keuntungan yang besar, hasil daripada pengguna Facebook yang kini berjumlah 845 juta akaun, dengan separuh daripadanya atau 483 juta mengepos pernyataan setiap hari.
Pengguna Facebook (kita semualah!) telah berkongsi lebih daripada 100 petabytes (100 quadrillion bytes) gambar dan video dalam Facebook, menghasilkan 2.7 bilion like dan komentar sehari dalam tiga bulan terakhir 2011.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg menerima gaji asas sebanyak AS$500,000 (RM1.5 juta) tahun lalu, lebih tiga kali ganda berbanding gaji yang diterima oleh pengasas bersama Google Larry Page dan Sergey Brin semasa Google memfailkan IPO.
Keistimewaan
Memegang jawatan tertinggi dalam Facebook memberi keistimewaan tertentu untuk Zuckerberg. Menurut dokumen Facebook, firma itu juga membenarkan CEO dan COO menggunakan pesawat persendirian bagi tujuan-tujuan rasmi.
‘‘Encik Zuckerberg boleh menggunakan pesawat persendirian bagi tujuan peribadi berkaitan dengan program keselamatannya yang menyeluruh. Pada masa tertentu, Encik Zuckerberg mungkin ditemani ahli keluarga atau lain-lain apabila menggunakan pesawat persendirian.”
Menerusi penyenaraian itu kelak, Zuckerberg memegang 28 peratus ekuiti dalam Facebook, yang mungkin bernilai AS$28 bilion (RM84 bilion) dan CEO berusia 27 tahun itu merancang untuk mengambil gaji hanya AS$1 setahun bermula 2013, sama seperti ikon Apple, mendiang Steve Jobs semasa menerajui Apple.
Facebook juga kelihatan cukup mantap berbanding firma lain di Lembah Silikon semasa hendak disenaraikan. Menurut prospektus itu lagi, Facebook telah mencatat keuntungan sejak tiga tahun lalu. Ia melaporkan perolehan sebanyak AS$3.7 (RM11.1) bilion tahun lalu, iaitu kenaikan sebanyak 88 peratus berbanding 2010, dan meraih keuntungan sebanyak AS$1 (RM3) bilion. Ia melebihi pulangan keseluruhan Google tahun ia disenaraikan.
Perolehan Facebook juga mengatasi firma-firma Internet lain yang baru disenaraikan, misalnya Zynga mencatat AS$90.6 juta pada 2010 dan LinkedIn baru hendak mencatat keuntungan tatkala Pandora masih jauh ketinggalan.
Pengiklanan mewakili 85 peratus hasil kepada Facebook, menurun daripada 98 peratus pada 2009. Zynga sahaja merupakan 12 peratus kepada hasil keseluruhan Facebook kerana syarikat permainan dalam talian itu harus membayar royalti bagi setiap pembelian dalam Facebook.
Langkah Zuckerberg menyenaraikan Facebook di bursa saham ini tidak dapat lari daripada kritikan. Antara isu yang disebut lantang ialah pemegangan ekuiti majoriti beliau selepas IPO, bermakna Zuckerberg tidak perlu menjawab soalan kepada ahli lembaga pengarah bebas, sebagaimana kelaziman CEO di syarikat tersenarai lain.
Bila ini berlaku, seluruh proses IPO menjadi tanda-tanya. Mengapa timbulkan kehebohan jika Facebook tidak pernah berhasrat membenarkan pemegang saham awam bersuara dalam syarikat? Mengapa memanggil bank melabur ke dalam syarikat hanya untuk sakit hati kemudian hari, bila mereka mendesak untuk keuntungan yang lebih lagi?
Rupa-rupanya, rangkaian sosial yang kita jengah setiap hari, komen dan poskan gambar kita, adalah sebuah entiti yang bakal menjadi sangat kaya hasil daripada persinggahan kita setiap hari di Facebook.
Harap anda sekalian gunakanlah Facebook dengan sebaik mungkin, bukan jadi alat sebarkan api kebencian politik atau fitnah. Mereka yang berterusan berbuat demikian, harus dipadamkan daripada senarai rakan hari ini juga.
© UTUSAN MELAYU (M) BERHAD, 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment